TELUK INTAN – Bank Negara Malaysia (BNM) diminta memberi kerjasama dengan kerajaan bagi memudahkan pertukaran tunai baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Adun Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pihak kerajaan sudah menjalankan sistem penyerahan baucar BR1M yang sistematik kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Kita membuka kaunter khas untuk mereka malah kehadiran mereka dilayan dengan mesra dan segera kerana memahami kesukaran yang dihadapi golongan berkenaan.

“Namun, urusan pertukaran baucar kepada wang tunai di bank-bank terpilih kurang memuaskan sehingga menyebabkan pelbagai masalah berlaku kepada golongan berkenaan,” katanya.

Mohd Azhar berkata, keengganan segelintir bank untuk membuka kaunter pertukaran baucar kepada wang tunai menyebabkan berlakunya pelbagai masalah apabila penerima berebut ke bank.

“Alasan tidak cukup kakitangan jika mahu membuka kaunter semasa penyerahan baucar oleh pihak bank adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kerana itu saya mohon campur tangan BNM supaya mengarahkan semua bank membantu supaya agihan wang BR1M berjalan lancar pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Azhar berkata demikian ketika mengulas gambar seorang warga emas terjatuh dan luka sebelum dibawa ke hospital selepas ditolak penerima BR1M yang berebut menunaikan baucar di Bank Simpanan Nasional (BSN) Teluk Intan, baru-baru ini.

Gambar yang tular di Facebook turut mendapat perhatian netizen di mana kebanyakan mereka menyalahkan sistem pemberian BR1M melalui baucar kepada warga emas.

Sementara itu, Adun Pasir Berdamar, Terence Naidu dalam satu kenyataan melahirkan rasa sedih dan dukacita melihat kejadian yang menimpa warga emas berkenaan.

Menurutnya, kejadian berkenaan sepatutnya tidak berlaku dan ia boleh dielakkan jika kerajaan mengambil langkah memasukan wang BR1M terus ke akaun penerima seperti sebelum ini.