IPOH– Cadangan untuk mengangkat Parit sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO memerlukan kajian terperinci serta perlu dirujuk kepada pakar berkaitan sebelum tindakan lain menyusul.
Sehubungan itu menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing, Kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara memerlukan kajian terperinci sebelum usaha mengangkat sesuatu lokasi sebagai Tapak Warisan Dunia.
“Inisiatif mengangkat sesuatu lokasi sebagai produk pelancongan juga perlu melihat keseluruhan sejarah dan semua yang berkaitan dengan kawasan tersebut.
“Seperti produk tarikan pelancongan sampingan, kemudahsampaian, hakmilik tanah, dan kesediaan komuniti setempat dalam bersama melonjakkan pelancongan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Tambahnya, Parit merupakan sebuah pusat penempatan kecil yang utama di dalam daerah Perak Tengah dan cadangan menaiktaraf imej dan reka bentuk bandar di pekan itu ada disentuh dalam Rancangan Tempatan Daerah Perak Tengah 2030 (RTD PT2030).
“Ini menyedari rekabentuk kolonial bangunan – bangunan sedia ada di pekan Parit yang unik. Imej pekan Parit dengan peranan dan fungsi sebagai Pusat Petempatan Kecil juga dijustifikasikan,”katanya.

Ujarnya agensi pelaksana yang akan berganding bahu bagi melaksanakan cadangan menaiktaraf imej dan rekabentuk bandar di pekan Parit seperti Majlis Daerah Perak Tengah, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Plan Malaysia@Perak (Jabatan Perancang Bandar dan Desa), Jabatan Landskap Negara, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Perak, Jabatan Warisan Negara serta pemaju swasta.