Ipoh: Siasatan lanjut kes penemuan remaja perempuan dipercayai dibunuh dekat Hentian Rehat Bintang Hijau, Gerik, 6 Februari lalu, belum dapat dijalankan selagi identiti mangsa belum dikenal pasti.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mayat reput dan berulat ditemui lengkap berpakaian oleh pemotong rumput warga Bangladesh di kilometer 24 Jalan Gerik-Kupang, dekat Hentian Rehat Bintang Hijau, Gerik.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa melalui laporan orang hilang di seluruh negeri termasuk bantuan kontinjen lain.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa berusia antara 10 hingga 17 tahun dan dipercayai dibunuh berdasarkan kesan pukulan objek tumpul di bahagian kepala.

“Sampel daripada mayat sudah diambil dan polis sedang membuat perbandingan dengan data orang hilang yang dilaporkan namun tiada lagi yang serupa.

“Siasatan masih belum dapat dijalankan kerana identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan berharap orang ramai akan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai maklumat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Siput.

-myMetro