KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan meneliti semula Laporan Pengauditan 1MDB selepas ia dikategorikan sebagai Dokumen Terbuka.

Namun begitu, Pengerusinya, Tan Sri Abu Talib Othman, berkata masih terlalu awal untuk jawatankuasa diketuainya mengulas atau mengeluarkan kenyataan mengenai hasil siasatan dan penemuan yang diperoleh setakat ini.

“Masih terlalu awal untuk diulas. Kami masih meneliti maklumat daripada jabatan berkaitan. Jawatankuasa ini berusaha untuk menyelaras sebaik mungkin bagi menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.

“Kami perlu pengesahan lanjut untuk lebih jelas. Seperti yang Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) kata, siasatan mesti adil dan mengikut peraturan dan prosedur. Kami tidak boleh agak-agak saja. Ini (pengesahan) yang kami lakukan,” katanya kepada media di Menara Ilham di sini, hari ini.

Jawatankuasa siasatan itu berbincang dengan wakil Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Sekuriti hari ini bagi mendapatkan maklumat baharu mengenai dakwaan terhadap penyelewengan 1MDB.

Laporan Pengauditan 1MDB yang dikelaskan sebagai RAHSIA pada 22 Januari 2016 dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016, diisytihar sebagai Dokumen Terbuka pada 15 Mei lalu.

Abu Talib turut berkata, siasatan terhadap 1MDB mungkin mengambil masa yang agak lama kerana ia bergantung kepada aspek kerumitan yang ditemui dalam siasatan.

“Hanya Tuhan tahu berapa lama ia akan ambil masa. Jawatankuasa kami hanya menyelaras pasukan penyiasat.

“Kami perlu menyatukan tindakan bagi mengelak siasatan bertindih,” katanya = berita harian