IPOH – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Bahasa Inggeris (MELTA) ke-25 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh pada Isnin.

Baginda yang diringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir disambut oleh Presiden MELTA, Profesor Dr. Gunakumaran Subramaniam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri, Datul Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif K Perak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusof.

Persidangan selama tiga hari itu yang kali pertama memilih Perak sebagai tuan rumah dengan kerjasama K Perak bermula 30 Mei hingga 1 Jun ini.

Seramai 20 perwakilan dari negara luar termasuk Jepun, Korea, Indonesia dan Brunei menyertainya.

Sementara itu, Sharul Zaman dalam sidang media selepas itu berharap kerjasama MELTA dengan K Perak dapat terus dijalin bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sekolah di seluruh negeri Perak.

“Saya harap daripada persidangan ini selain daripada teknologi para perwakilan juga akan berbincang tentang kaedah pengajaran yang kreatif demi kepentingan masa depan murid,’’ katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan memberikan komitmen serius dalam membantu MELTA cawangan negeri Perak untuk menyumbangkan buku-buku ilmiah bukan sahaja di lima buah sekolah rendah yang telah dipilih setakat ini tetapi akan meliputi seluruh negeri Perak selepas ini.

Profesor Gunakumaran pula berkata, dengan adanya persidangan itu, ia menjadi titik tolak kepada negeri Perak untuk bergerak ke hadapan bagi mengalakkan rakyat negeri ini terutama golongan muda untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.