IPOH: Pendaki atau pengemar kenderaan pacuan empat roda dinasihati memohon permit terlebih dahulu dari Jabatan Perhutanan negeri berkenaan sebelum melakukan sebarang aktiviti di dalam mana-mana kawasan hutan simpan di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Roslan Ariffin berkata, golongan tersebut seharus melihat permit itu sebagai perlindungan kepada mereka sekiranya sebarang kejadiaan tidak diingini berlaku dan bukannya sebagai satu bebanan.

Menurut beliau, tanpa permit tersebut mana-mana individu tidak akan dilindungi sebarang insurans ketika melakukan sebarang aktiviti di dalam kawasan berkenaan.

“Seluruh kawasan pendakian yang ada di semenanjung Malaysia adalah hutan tertutup, bila hutan tertutup setiap individu wajib untuk mendapatkan permit. Ia adalah untuk perlindungan mereka juga kalau apa-apa jadi.

“Jumlah yang perlu dibayar juga bukanlah mahal sangat, hanya RM30 atau RM10 sahaja mengikut negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sesi Taklimat dan Dialog Berkaitan Kualiti Alam Sekeliling di sini pada Khamis.

Tambah beliau lagi, individu yang gagal mendapatkan permit itu juga boleh diambil tindakan di bawah di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati pengemar pacuan empat roda untuk tidak memasuki kawasan hutan simpan untuk melakukan sebarang aktiviti ketika musim hujan.

Ini kerana pihaknya telah menerima banyak aduan daripada pelbagai pihak khususnya masyarakat orang asli di mana jalan-jalan menjadi rosak berikutan aktiviti yang dilakukan dengan kenderaan berkenaan.

“Kalau boleh jangan masuk ketika musim hujan kerana ia akan merosakkan jalan-jalan yang sering digunakan orang ramai di sesuatu kawasan tersebut khususnya masyarakat Orang Asli.

“Sesetengah mereka itu masuk untuk bermesra dengan masyarakat berkenaan kita tidak halang tetapi pilihlah waktu yang sesuai kerana jika berlaku kerosakkan jalan, kerajaan yang perlu mengeluarkan belanja membaiki semula,” ujar beliau.