KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan membawa permohonan inkues oleh keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya ke peringkat yang lebih tinggi untuk dipertimbangkan.

“Berhubung dengan permintaan keluarga agar inkues diadakan bagi mencari punca kematian Allahyarham, Kementerian Pertahanan akan membawa permintaan ini ke peringkat yang lebih yang lebih tinggi untuk dipertimbangkan,” kata
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Semalam, bapa Allahyarham Mohd Zahir, berkata, semua ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya itu.

AR Badul mahu inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya.

Mohamad berkata, kementerian itu mengambil maklum keputusan lembaga siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung insiden yang menimpa anggota komando 11 Rejimen Gerak Khas, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya semasa melakukan demonstrasi keupayaan sempena gimik penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) pada 4 September 2019 lalu sehingga menyebabkan beliau terkorban.

Lembaga siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) telah memaklumkan bahawa insiden tersebut sebagai kejadian terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan, katanya.

Selain itu, lembaga sisatan TDM juga akan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu terlibat dan akan mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) jika terdapat keperluan.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan juga menyokong kenaikan pangkat Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya kepada Leftenan Kolonel pada Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang telah bersidang pada 17 September 2019, tertakluk kepada kelulusan Seri Paduka Banginda Yang Di-Pertuan Agong.

– MalaysiaGazette