IPOH : Armada Bersatu Perak mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan biadab ahli perniagaan, Tan Sri Lee Kim Yew menghina Jalur Gemilang yang menjadi simbol kedaulatan negara.

Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, permohonan maaf Kim Yew sama sekali tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia.

Menurutnya, rakyat amat tersinggung dengan perbuatan ahli perniagaan itu yang memuat naik gambar Jalur Gemilang dengan menukar warna putih pada Jalur Gemilang kepada warna hitam.

“Justeru, Armada Perak menyokong penuh desakan supaya gelaran Tan Sri yang dianugerahkan kepada beliau ditarik balik serta-merta.

Jalur Gemilang ditukar warna hitam: Lee Kim Yew mohon maaf

“Ini adalah sebagai pengajaran dan teladan kepada mana-mana pihak supaya jangan sesekali menghina simbol kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Hafez Mubin, alasan Kim Yew kononnya tindakan menghitamkan garisan Jalur Gemilang sebagai tanda protes terhadap pelaksanaan tulisan khat di sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan sekolah Jenis Kebangsaan Tamil tidak boleh dimaafkan.

Kata beliau, sebagai ahli perniagaan yang telah mengecap kemewahan hasil daripada kemakmuran dan keamanan negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, Kim Yew sepatutnya bersikap matang dalam menyuarakan pandangan terhadap sesuatu isu.

Katanya, Armada ingin menegaskan bahawa sebarang pandangan dan pendirian berhubung pelaksanaan khat mestilah dibuat dengan rasional dan bersandarkan kepada fakta dan bukannya emosi semata-mata.

“Tindakan pihak-pihak tertentu menggunakan isu ini untuk kepentingan agenda peribadi dan politik sempit dengan memainkan sentimen perkauman adalah perbuatan dangkal dan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini,” katanya.