IPOH: Kementerian Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mempertimbangkan permohonan semula Perak dan Kelantan untuk menyerahkan pengurusan sisa pepejal kepada kerajaan Persekutuan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya telah menerima permohonan tersebut dan sedang dalam proses penilaian untuk menggunapakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di kedua-dua negeri berkenaan.

Menurut beliau, terdapat negeri yang enggan menerima pelaksanaan akta tersebut berikutan tidak ingin terikat dengan monopoli sebuah syarikat tunggal dalam pengurusan sisa pepejal.

“Bagaimanapun, cadangan mereka untuk memberikan pengendalian tersebut kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melantik kontraktor tempatan menguruskan sampah dan sisa pepejal tidak berjaya.

“Ini adalah kerana cara lama, seperti contoh di Selangor menyebabkan sampah tidak terurus kerana kontraktor yang dilantik tidak mempunyai modal untuk membeli lori, mesin yang besar dan keperluan asas,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci bagi Pasar Ayam Amanjaya di sini pada Khamis.

Jelas beliau, keputusan itu kemudian membawa kepada modal pengurusan sisa pepejal asal yang dipraktikkan oleh kerajaan pusat iaitu melantik KEDB sebagai syarikat pengurusan terbaru negeri Selangor.

Noh berkata, pihaknya kini akan mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri Perak dan melaksanakan kajian lanjut sebelum dibawa kepada Kabinet bagi kelulusan.

“Sebelum ini kita mengesyorkan untuk beberapa syarikat konsesi mengendalikan kawasan tersebut mengikut wilayah, sebagai contoh E-Daman di wilayah utara, Alam Flora di wilayah tengah dan SWM untuk bahagian selatan.

“Sekiranya akta ini digunapakai di Perak kelak, maka KPKT akan memilih sebuah syarikat untuk menguruskan sisa pepejal melalui SW Corp,” katanya lagi.