KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor perlu mengisytiharkan perolehan semua hartanya bermula dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2017.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan Rosmah untuk mengetepikan notis perisytiharan harta itu yang dikemukakan pendakwaan yang meminta beliau mengisytiharkan perolehan harta berkenaan.

Pendakwaan memohon Rosmah mengisytiharkan harta itu bersabit 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal membuat penyata pendapatan yang dihadapinya.

Pendakwaan mengemukakan notis itu mengikut Seksyen 49 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan

Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah mengetepikan notis perisytiharan harta itu selepas berpuas hati ia tidak akan memprejudiskan pihak pembelaan atau menyebabkan kebimbangan maklumat itu akan digunakan untuk menentangnya.

Beliau berkata, permohonan difailkan pendakwaan mengikut Seksyen 49(1) AMLATFPUAA hanya bagi siasatan dan tiada kaitan dengan 17 tuduhan dihadapi Rosmah.

Katanya, alasan Rosmah bahawa notis itu akan memprejudiskan dirinya dan beliau tidak mendapat perbicaraan adil adalah berdasarkan spekulasi dan tidak berwibawa.

“Hak berdiam diri diberikan ketika perbicaraan dan bukan dalam kes ini. Saya juga bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa hak untuk berdiam diri dan keistimewaan daripada menjawab notis itu, bukan hak dijamin Perlembagaan.

“Fleksibiliti diperlukan bagi menyeimbangkan antara kepentingan awam dan hak kepada tertuduh,” katanya.

Mohamed Zaini berkata, pihak berkuasa perlu diberi peluang menjalankan penyiasatan mereka seperti mengenal pasti aset milik seseorang disyaki dalam kes pengubahan wang haram.

Beliau berkata, pendedahan aset itu tidak bermakna seseorang yang dituduh melakukan kesalahan pengubahan wang haram.

Katanya, anggapan tidak bersalah masih kekal kepada pemohon.

“Beban itu terletak pada pihak pendakwaan untuk membuktikan kesalahan,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Mohamed Reza Rahim memohon mahkamah menangguhkan perisytiharan harta bagi membolehkan peguam membalas notis perisytiharan berkenaan.

Mohamed Zaini bagaimanapun memerintahkan peguam memfailkan permohonan rasmi.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang RM7 juta dan lima tuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Rosmah, 67, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang di sini, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, beliau didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala Rosmah tidak hadir ke mahkamah – Berita harian