IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 8 Mac ini untuk mendengar permohonan bagi menangguhkan keputusan perintah mahkamah supaya pengusaha yang menduduki tanah seluas 588 hektar secara haram di Tronoh menyerahkan kembali tanah itu kepada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) selaku tuan tanah yang sah.

Pada 16 Disember 2016, Mahkamah Tinggi Ipoh telah membuat keputusan memerintahkan pengusaha haram itu mengosongkan tanah yang mereka duduki.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah berpuashati bahawa pengusaha terbabit tidak mempunyai hak ke atas tanah tersebut dan pendudukan ke atas tanah di situ adalah satu pencerobohan.

Peguam Datuk Ambiga Srenevasan yang hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi mewakili pengusaha terbabit memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 8 Mac ini untuk mendengar permohonan penangguhan kehakiman.

MB Inc dalam satu kenyataan media baru-baru melahirkan rasa syukur di atas keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pengusaha haram mengosongkan tanah.

Keputusan itu sekaligus bakal menyaksikan projek pembangunan kawasan pertumbuhan baru Bandar Tasik Amajaya yang diusahakan MB Inc di atas tanah seluas 588 hektar di Tronoh, dekat sini kembali pulih tidak lama lagi.

Projek pembangunan berkenaan terbengkalai sejak beberapa tahun lalu apabila sekumpulan pengusaha haram menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai membantah notis pemilikan kosong yang dikeluarkan MB Inc.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 16 Disember 2016 memerintahkan pengusaha yang menduduki tanah itu secara haram supaya menyerahkan pemilikan kosong kepada MB Inc selaku tuan tanah yang sah.

Projek pembangunan Bandar Tasik Amanjaya antara lain mengandungi pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik selain mewujudkan institusi pengajian tinggi yang bakal menawarkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat.