IPOH: Struktur jalan baharu di sekitar tapak Gerbang Malam di sini, dibina menggunakan bahan simen mortar untuk memberi kesan gegaran kepada pemandu yang melalui kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim menjelaskan, permukaan jalan itu akan melalui fasa matang apabila kenderaan kerap melaluinya.

“Ada yang mengatakan struktur jalan Gerbang Malam yang baru dibuka tidak sempurna dan menimbulkan ketidakselesaan pengunjung. Ia dibina menggunakan bahan “cobble paver” dengan penyambungan menggunakan bahan simen mortar.

“Rekabentuk ini dipilih untuk struktur jalan bersesuaian dengan jenis rumah lama yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua” katanya ketika menggulung perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesan gegaran itu berfungsi untuk memperlahankan had laju pemandu bagi menjaga keselamatan pejalan kaki yang aktif terutama waktu siang di mana jalan dibuka kepada kenderaan.