LENGGONG: Permukiman 3YB Parlimen Lenggong disifatkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebagai kreatif apabila ketiga-ketiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen kawasan itu meneruskan agenda yang dilaksanakan dalam program Permukiman Menteri Besar.

Dr. Zambry berkata, kesinambungan program itu yang dilaksanakan di Parlimen Lenggong memperlihatkan dedikasi dan semangat ADUN serta Ahli Parlimen dalam menyelami masalah yang dihadapi rakyat setempat.

zambry-pelancaran-permukiman 5“Bagi saya inilah contoh paling kreatif yang dibuat selepas Permukiman, malah Datuk Saarani menyambung pula program itu di sini dengan barisan kepimpinan setempat.

“Dalam konteks di Lenggong ini didapati dalam tempoh tiga hari mereka menganjurkan 80 program melibatkan semua peringkat, saya yakin keseluruhan kawasan yang akan mereka lawati melibatkan semua tempat.

“Bukan mahu angkat kita ini hebat tetapi inilah cara dan pendekatan kita sebagai kerajaan negeri untuk membantu dan mendekati rakyat, bukan hanya menghentam atau cakap bohong dengan memanipulasi fakta sebenar kepada rakyat,” katanya di Majlis Perasmian dan Pelancaran Permukiman 3YB Parlimen Lenggong di Arena Amanjaya di sini.

IMG-20171213-WA0015Yang turut hadir ialah ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohammad; Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah; ADUN Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris serta Yang DiPertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut menepis dakwaan pembangkang kononnya program tersebut dilaksanakan bagi tujuan meraih undi bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

“Rakyat tidak akan mempercayai tuduhan ini, pembangkang juga memulakan gerak kerja mereka di akhir-akhir musim PRU dengan cuba menabur pelbagai fitnah dan sebagainya. Dengan ada pendekatan ini sebenarnya kita tidak perlu tunggu saat akhir untuk buat kerja kepada rakyat,” katanya.

IMG-20171213-WA0013

Sementara itu, Saarani menjelaskan, permukiman yang berlangsung selama seminggu itu melibatkan kerjasama di antara pelbagai agensi dan jabatan demi memberikan yang terbaik untuk masyarakat setempat.

“Permukiman 3YB ini kami tiru sebiji dengan Permukiman Menteri Besar di daerah-daerah di mana secara kebetulan ianya dimulakan pada Februari 2016 di Hulu Perak, jadi kita kembalikan semula program itu di sini,” katanya.