PANGKOR: Program Permukiman Menteri Besar yang telah dilaksanakan di sembilan daerah di negeri ini dapat mengurangkan karenah birokrasi, khususnya di peringkat akar umbi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program itu dapat menyelesaikan masalah setempat yang ada di antaranya telah berlanjutan selama bertahun-tahun.

Menurut beliau, masalah seumpama itu dapat diselesaikan selepas beliau, barisan Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan turun melihat sendiri apa yang menyebabkan ia masih tidak dapat diselesaikan.

“Kadang-kadang apabila kita turun ke bawah, melihat sendiri, barulah kita dapat mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika berucap di Majlis Kenduri Rakyat sempena program Chance 2017 Jelajah Pangkor di Dewan Serbaguna Kampung Teluk Kecil di sini.

Chance 2017 adalah program Jelajah Pelajar Luar Negara yang memberi penekanan kepada ‘charity & care’, melibatkan kira-kira 50 pelajar dari negeri ini yang menuntut di luar negara.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri mengamalkan sistem pentadbiran terbuka, di mana keputusan bukan sahaja dibuat di pejabat, tetapi juga semasa program turun padang.

“Saya tidak suka hanya duduk dalam pejabat yang berhawa dingin, kita turun padang untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Zambry mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang terus memberi sokongan kepada beliau dan kerajaan negeri sejak lebih lapan tahun lalu.

Menurut beliau, melalui sokongan dan kerjasama rakyat, Perak mendapat pelbagai kejayaan dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.