BAGAN DATUK: Permukiman YAB Menteri Besar di Daerah Bagan Datuk selama lima hari berjaya mencapai sasaran kerajaan negeri dalam mendekati masyarakat secara langsung dan telus.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelan permukiman yang memfokuskan penyelesaian masalah rakyat secara bersemuka bukanlah satu program baru, sebaliknya dirancang dengan penuh teliti.

Katanya, rangka kerja permukiman di setiap daerah sebenarnya merupakan hasil laporan siri turun padang selama bertahun-tahun sebelum ini oleh barisan kepimpinan kerajaan negeri yang kemudiannya diperhalusi bersama.

“Contohnya bagi Bagan Datuk, setiap lapisan barisan kepimpinan kerajaan negeri baik ahli-ahli Exco dan saya, bersama ketua jabatan telah turun secara rasmi untuk melaksanakan lebih daripada 100 program di sini, malah ada lagi yang tidak termasuk dalam jadual.

“Inilah misi sebenar permukiman, ianya bukanlah dilaksanakan oleh saya sahaja, malah oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir Permukiman Daerah Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Jelasnya, tujuan utama dan sebenar barisan Exco berada di dalam daerah buat tempoh masa yang lama adalah untuk mengenalpasti isu setempat dan merancang pendekatan yang sesuai bagi menyelesaikannya.

Kata Dr Zambry, setiap kawasan mempunyai isu setempat masing-masing, justeru permukiman merupakan kaedah terbaik untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada dan menambahbaik kekuatan serta potensi yang wujud di daerah tersebut.

Menurutnya, keberkesanan program permukiman juga bergantung kepada kerjasama erat daripada ketua-ketua jabatan yang turun padang dan menyentuh semua aspek baik, dari segi perumahan, pendidikan dan pelbagai lagi.

Seperti disebutkan TPM, majlis atau program permukinan mula mendapat perhatian di peringkat kepimpinan tertinggi bagi menjadikan program ini sebagai contoh di kawasan2 lain.

Bagan Datuk – Daerah Baharu Berpotensi Tinggi

Dr Zambry berkata, sepanjang berada di Bagan Datuk beliau mendapati bahawa permasalahan di daerah ke-12 negeri Perak itu tidaklah begitu rumit.

“Saya lihat isu di kawasan ini tidak begitu banyak, mungkin disebabkan telah ditangani oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk sendiri, dan ianya merupakan daerah baharu,” ujarnya.

Menteri Besar, beliau juga memberi perhatian khusus kepada pelbagai aduan dan luahan isu setempat yang disampaikan melalui surat-surat kepadanya.

Ujarnya, setiap tempat mempunyai masalah tersendiri dan apa yang dikemukakan agak berbeza antara satu tempat dengan satu tempat yang lain.
“Antara masalah yang diutarakan adalah seperti isu dewan yang dimiliki oleh orang lain, mereka minta kerajaan negeri selesaikan; menyelesaikan isu nelayan yang mempunyai masalah untuk turun ke laut dan juga beberapa masalah pengurusan kuil.

“Selain itu, kita juga akan merancang bagaimana kita hendak merancakkan pembangunan di Bagan Datuk, contohnya kita akan melihat beberapa tempat yang boleh kita majukan sebagai lokasi sektor pertanian,” ujar beliau.