SITIAWAN: Program Permukiman Menteri Besar banyak memberi manfaat kepada rakyat walaupun pembangkang tidak senang dengan pelaksanaannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, selain membantu menyelesaikan masalah rakyat, pelbagai promosi ditawarkan oleh beberapa agensi kerajaan semasa program tersebut.

Beliau memberi contoh, rakyat setempat mendapat hadiah barangan dan diskaun sekiranya mereka membuat bayaran ketika permukiman.

Selain itu, katanya agensi kerajaan persekutuan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan menawarkan pakej pengambilan lesen B2 yang murah dan diskaun saman di samping pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan.

Sehubungan itu, kata Dr Zambry beliau tidak akan melayan karenah pembangkang yang tidak senang hati dengan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kita bukan macam pembangkang yang menggambarkan seolah-olah mereka saja yang betul dan apa yang kerajaan buat, semuanya tak betul.

“Saya tidak akan layan maki hamun mereka, sebaliknya kita akan terus memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat dan membangunkan negeri,” katanya ketika berucap di program Teras Keselamatan di Arena Square, Sungai Wangi dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, ADUN Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Pengerusi MIC Perak yang juga Penasihat Menteri Besar, Datuk V Elango.

Antara pengisian program itu ialah pameran jabatan agensi kerajaan, klinik pemeriksaan motosikal, pemberian cukai jalan motosikal B2, servis motosikal percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Lembaga Air Perak (LAP) pula menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 100 asnaf, sumbangan kotak makanan kepada warga miskin India oleh MIC dan kaunter bayaran bil air serta eletrik.

Sempena program itu, Dr Zambry dan Zainol turut menyerahkan 210 lesen kelas B2 kepada peserta program 1Komuniti 1JPJ.