IPOH – Program Pemukiman Menteri Besar bagi daerah Kerian akan diteruskan dengan fokus utama untuk mendengar rintihan 8,000 pesawah yang terjejas akibat kemarau panjang dan isu bekalan air di kolam tadahan Bukit Merah.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, program pemukiman selama lima hari itu yang bermula 17 Mei hingga 21 Mei ini turut akan menyaksikan penglibatan daripada Jabatan Pertanian dan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, program pemukiman ini perlu diteruskan meskipun ada cadangan supaya ia ditangguhkan disebabkan masalah yang dihadapi para pesawah di daerah Kerian.

“Ingin saya tekankan bahawa permukiman ini bukanlah satu pesta atau karnival untuk kita bersuka ria. Saya hormati pandangan yang mahu ia ditangguhkan tetapi saya berpendapat inilah masanya kita zahirkan keprihatinan kerajaan dengan turun beramai-ramai melihat dan menghayati sendiri masalah yang ditanggung petani di daerah Kerian,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Menurut beliau, sebanyak 132 program telah disusun bagi membolehkan kerajaan negeri menyelaras dan menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang dihadapi rakyat di Kerian selain daripada masalah yang dihadapi oleh para pesawah.

“Selain tertumpu di kawasan Selinsing dan Semanggol, kegiatan penanaman padi juga ada di sekitar Tanjung Piandang dengan keluasan 30,000 hektar. Di situ juga ada kegiatan perikanan dan ini juga tidak akan kita abaikan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, kata Dr Zambry telahpun meminta Datuk Saarani Mohamed selaku Pengerusi Pemukiman Daerah Kerian untuk membuat penyusunan bagi memastikan supaya susunan program itu benar-benar dapat menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan sektor pertanian.