TELUK INTAN: Edisi ketujuh aktiviti turun padang oleh pemimpin negeri bersama rakyat di daerah Hilir Perak jelas menampakkan kemesraan dan keterbukaan rakyat dalam Program Permukiman Menteri besar kali ini.

Lebih 111 program yang disusun atur secara strategi dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi sepanjang lima hari program permukiman tersebut berlangsung.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, maklum balas daripada rakyat Hilir Perak juga begitu mengalakkan sehinggakan banyak program tambahan yang diselitkan dalam jadual baik beliau atau barisan kepimpinan kerajaan negeri.

“Meskipun pada awalnya kita hanya menyeneraikan 111 program namun disebabkan respons yang cukup baik dari rakyat kita telah menambahkan beberapa lawatan dan pengisian secara terus sekiranya mempunyai permintaan, dan ini menunjukkan ketersediaan kita dalam mendekati masyarakat setempat.

“Saya sebagai contoh, telah menambah dua program seperti lawatan ke Kg Selabak dan Kg Banjar pada Jumaat, justeru saya rasakan inilah yang perlu dilakukan bersama dengan wakil-wakil rakyat kita, sedia memahami masalah dan jiwa penduduk setempat apabila berada di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Fit Perak di Dataran Pekan Rabu pada pagi Sabtu.

Fit-perak 5

Menurut Dr Zambry, beliau tidak akan lagi melayan pelbagai keraguan dan cemuhan tidak berasas oleh pihak pembangkang dengan usaha yang memanfaatkan pertumbuhan sosial di kalangan rakyat.

Katanya, mereka hanya berasa tercabar dengan tindakan kerajaan negeri yang kini telah membuktikan kemantapan hubungan bersama rakyat dengan pemimpin dalam permukiman di sekitar tujuh daerah termasuk Langkap, Sungai Manik, Pasir Salak dan Bagan Datuk sehingga hari ini.

“Saya nak terangkan, bahawa ini bukanlah pertama kalinya aktiviti turun padang berlaku malah sebelum pilihan raya lagi, ini bukan projek pilihan raya sahaja ini adalah pendekatan ikhlas kami bersama mereka di setiap daerah.

“Kami tak akan ambil peduli lagi tindakan mereka mempertikaikan inisiatif ini, kerana ianya jelas memanfaatkan rakyat setempat dan kami akan meneruskan program ini,” katanya lagi.

Dr Zambry menasihatkan agar masyarakat Hilir Perak akan sentiasa memberikan kerjasama kepada perancangan di daerah tersebut demi memperkemas pelan pembangunan secara lebih sistematik dan halus.

“Ada kalanya ada masalah yang dapat diselesaikan, kerajaan akan memaklumkan mana permasalahan yang mampu dikendalikan dan mana yang tidak.

“Antaranya adalah peruntukan peribadi, masalah peruntukan tanah pusaka, pertikaian di antara keluarga itu kami cuma boleh panggil mereka yang terlibat dan memberikan mereka nasihat untuk menyelesaikan persengkataan itu secara lebih baik,” ujarnya lagi.