IPOH – Program Permukiman Menteri Besar telah mengukuhkan kerjasama antara wakil rakyat dan kakitangan awam dalam memberikan perkhidmatan sekali gus menyelesaikan masalah rakyat di sesebuah Parlimen.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata meskipun bukan semua masalah rakyat itu dapat diselesaikan dengan kerjasama kedua-dua pihak, namun ia memberi nilai tambah berdasarkan maklum balas yang diterima kerajaan negeri.

1dfc82e1-4749-4931-a09e-e9af1fe8a9d3

“Saya tak cakap semua masalah dapat diselesaikan kerana akan terdapat perkara-perkara baharu yang perlu diberikan perhatian.

“Namun, dengan kesungguhan dan kerjasama melalui wakil rakyat kita dan penjawat awam daripada pelbagai agensi yang turun padang memperlihatkan impak yang positif khususnya dalam mendepani masalah rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Fit Perak sempena Permukiman Menteri Besar Daerah Kinta, di sini, hari ini.

Beliau berkata, permukiman juga bukan program baharu malah telah dilaksanakan sejak sekian lama dan tidak hanya bertujuan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semata-mata.

“Program permukiman ini telah dilaksanakan sekian lama, bukan hanya untuk tujuan menghadapi pilihan raya. Sebab itu, kita tak dilihat asing oleh penduduk setempat, mereka tahu kita turun padang untuk selesaikan masalah tak kira sama ada di kawasan, daerah atau Parlimen,” katanya.

Mengulas mengenai permukiman di daerah Kinta, Dr Zambry yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor menjelaskan ia melibatkan tiga kawasan iaitu Gopeng, Kampar dan Tambun.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti beberapa masalah dan ia telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan susulan.

“Kita harap kalau ada masalah lagi selepas ini beritahu wakil rakyat dan kalau pun ada teguran kepada mereka, berilah teguran dan bimbingan yang membina kepada mereka,” katanya.

Program pada hari ini yang menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pameran, gerai jualan makanan, kendera saji dan sebagainya itu turut dihadiri lebih 10,000 individu terdiri daripada kalangan masyarakat sekitar.

BERNAMA