IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menyifatkan program Permukiman Menteri Besar yang dilaksanakan di negeri ini sebagai pendekatan unik bagi membanteras penularan gejala rasuah.

Malah, Pengarah SPRM negeri, Datuk Nooraziah Abd Manaf berkata, komitmen dan ketelusan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir merupakan perkara yang wajar dipuji.

IMG-20170810-WA0007“Saya sudah berkhidmat hampir di seluruh negara dan uniknya di sini (Perak) saya lihat komitmen Menteri Besar ke lapangan bersama barisan Exco dan ketua jabatan mendekati rakyat.

“Sekaligus mendapat maklum balas segera apabila bertindak menyelesaikan permasalahan rakyat dan mengurangkan tohmahan yang dilemparkan terhadap pemimpin,” katanya.

Nooraziah berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di Pekarangan JKN Perak di sini, hari ini.

Majlis itu melibatkan 500 kakitangan jabatan dan turut dihadiri oleh Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Hassan Merican.

Pada masa sama, Nooraziah berkata, program Permukiman Menteri Besar juga memberi kesan positif kepada rakyat dan dilihat mampu mengekang gejala rasuah.

“Surat-surat layang yang kami terima berkurangan disebabkan Menteri Besar turun padang bersama Exco dan ketua jabatan dan telah mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.