TAPAH: Program Permukiman Menteri Besar di daerah-daerah di Negeri Perak termasuk  Batang Padang dan Kampar yang diadakan sejak Isnin lalu bukan untuk “seronok-seronok” atau bersifat syok sendiri.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebaliknya program selama lima hari itu merupakan platform penting bagi kerajaan negeri  untuk bertemu, memahami dan menyelesaikan masalah rakyat di akar umbi.

“Permukiman ini telah kita adakan di beberapa daerah, 165,000 rakyat telah didekati setakat ini dan pelbagai masalah telah didengari serta diselesaikan.

“Setiap program kita akan menerapkan konsep “3P” (Padang, Perasaan dan Penyelesaian), kita datang bukan untuk seronok-seronok tetapi kita memperhalusi setiap permasalahan yang dihadapi rakyat di sesuatu kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Fit Perak serta Karnival Pendidikan  Tinggi dan Kerjaya di sini pada Sabtu.

Dr Zambry memberitahu beliau gembira program permukiman yang diadakan di Batang Padang dan Tapah telah mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Fitperak-tapah 3

Katanya melalui 170 program yang telah diadakan di sekitar dua daerah itu, pelbagai isu setempat telah dikumpul oleh kerajaan negeri untuk diambil tindakan.

“Setiap kawasan itu mempunyai masalah berbeza, di sini antara masalah-masalah yang diterima adalah hal ehwal tanah khususnya untuk penempatan serta perumahan.

“Kita (kerajaan negeri) akan memperhalusi setiap permasalahan ini serta mencari jalan penyelesaian dan jika ada perkara yang melibatkan kerajaan persekutuan akan kita kemukakannya kepada kementerian,” kata Menteri Besar.

Tambah beliau, selain permasalahan rakyat, kerajaan negeri turut memberi fokus terhadap kawasan-kawasan pertumbuhan yang perlu diberikan perhatian di dua daerah tersebut.

“Sekiranya produk-produk yang terdapat di Kampar serta Batang Padang ini digabungkan,  kita merasakan ia boleh dijadikan sebagai pusat pelancongan utama Perak kerana alam semula jadi termasuk hutan hujan tropika dimilik mempunyai potensi begitu besar.

“Kita juga sedang cadangkan Perak menjadi sumber makanan utama negara atau lembah makanan negara, jadi kita sedang membuat perancangan teliti ke arah itu. Ianya turut akan melibatkan beberapa daerah lain di negeri ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Zambry memberitahu terdapat pihak yang berminat untuk mendokumentasikan program permukiman sebagai produk Malaysia yang akan dipertontonkan di peringkat antarabangsa.

“Ada pihak mengesyorkan supaya program permukiman ini djadikan produk negara untuk menceritakan pendekatan yang diambil oleh Malaysia untuk mendekati rakyatnya,” kata beliau.