IPOH: Selepas lima siri, program Permukiman Menteri Besar siri keenam beralih ke daerah Perak Tengah yang akan bermula pada 7 – 11 Mac (Selasa sehingga Sabtu) ini.

Pegawai Daerah Perak Tengah, Datuk Mad Dan Hassan berkata, sebagai 109 program telah diatur sepanjang lima hari itu yang akan dilaksanakan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bota, Dun Belanja dan Kampung Gajah.

Menurut beliau, terdapat 17 program yang melibatkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, manakala selebihnya melibatkan barisan Exco, ADUN dan Ahli Parlimen yang merangkumi pelbagai program bersama rakyat setempat.

“Rakyat berpeluang untuk berjumpa secara terus dengan pemimpin melalui program-program yang telah disusun sepanjang lima hari,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pada hari ini.

Mad Dan berkata, pihaknya juga akan mengusulkan beberapa perkara berkaitan pembangunan dan kemudahan di daerah Perak Tengah kepada Menteri Besar.

Menurut beliau, ianya adalah bertepatan dengan objektif dan kepentingan untuk pembangunan di kawasan berkenaan, misalnya perkembangan pembinaan Hospital Seri Iskandar, Jambatan Lambor dan naiktaraf Jalan Parit – Siputeh.

“Selain itu, kita juga akan mengemukakan masalah berkaitan keadaan Sungai Perak sepanjang 94 kilometer di daerah Perak Tengah yang mempunyai kawasan sehingga menimbulkan beberapa masalah.

“Antara masalahnya ialah bot tersangkut akibat ada beting pasir, loji rawatan air Lembaga Air Perak (LAP) juga tidak boleh mengepam air akibat sungai yang cetek, rumah pam air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga turut mengalami masalah sama dan apabila musim hujan berlakunya banjir di beberapa kawasan akibat air yang tidak boleh ditampung oleh sungai Perak,” ujarnya.

Katanya, terdapat beberapa lagi isu yang akan dibentangkan semasa perjumpaan dengan Menteri Besar yang perlu mendapat perhatian bagi membantu pembangunan daerah itu.

“Kita akan gunakan peluang ini sebaik mungkin bagi memastikan daerah Perak Tengah juga tidak ketinggalan dari segi pembangunannya.

“Diharapkan program pemukiman ini akan berjalan lancar seperti mana daerah-daerah lain sebelum ini,” katanya lagi.