TAIPING: Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memulakan secara rasmi siri keempat Permukiman Menteri Besar di Parlimen Taiping dan Bukit Gantang.

Tiga siri permukiman terdahulu telah diadakan di Daerah Hulu Perak, Daerah Kerian dan Parlimen Larut.
Program di Taiping dan Bukit Gantang bermula dengan mesyuarat Exco pada Selasa malam yang didahului oleh wtaklimat pembangunan daerah.

Pada Rabu, program bermula seawal jam 7.20 pagi apabila Menteri Besar bersama-sama warga setempat mengambil bahagian di dalam senam seni di Taman Tasik Taiping.

Beliau kemudiannya bersarapan pagi bersama-sama penggiat pelancongan Taiping di dalam Zoo Taiping sebelum melancarkan kempen alam sekitar dan kitar semula kira-kira jam 8 pagi.

Selepas itu, Dr Zambry berbasikal ke kawasan kaki Bukit Larut sambil melawat Taman Botani dan sekitar Taman Tasik Taiping, seterusnya menaiki Rapid Bas untuk melihat beberapa bangunan warisan di sekitar bandar Taiping.

Kira-kira jam 9 pagi, beliau menyerahkan borang 5A kepada Majlis Penyerahan 12 penerima daripada RPT Aulong dan 50 orang daripada Aulong Maju, Batu 4 di samping menyerahkan kunci rumah SPNB kepada 24 penerima.

Selain itu, pelbagai aktiviti Menteri Besar telah disusun sepanjang Rabu sehingga lewat malam, antaranya bersama anggota & veteran tentera, Klinik Dr Zambry di Kompleks Rakan Muda Kamunting, walkabout program inovasi robotik K Perak & drone, walkabout program PeKA dan perjumpaan bersama warga pendidik, guru KAFA
PIBG & JPSAR.

Program Rabu diakhiri dengan ceramah pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias di Padang Taman Kaya yang dijangka bermula jam 8 malam.