BATU GAJAH: Lebih banyak program permukiman dianjurkan, lebih mudah untuk rakyat memilih pemimpin yang boleh mewakili mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, melalui program itu, pemimpin turun padang untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Oleh sebab itu, kata beliau, wakil rakyat pembangkang tidak senang dengan program permukiman yang dianjurkan pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana mereka (pembangkang) sendiri tidak membuat kerja membantu rakyat yang telah memilih mereka.

Sebaliknya, kata Dr Zambry, pemimpin pembangkang lebih suka mengadakan ceramah memaki hamun dan memfitnah kerajaan, semata-mata untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

“Kita Barisan Nasional tidak buat pendekatan menimbulkan kebencian tetapi kita memberi khidmat untuk rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan penutup program Permukiman Senator Datuk Hamzah Mohd Kasim di Zon Batu Gajah, Parlimen Gopeng di Arena Square di sini pada Ahad.

Turut hadir Hamzah dan Ketua Wanita MCA Malaysia, Datuk Heng Seai Kie, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din dan Naibnya, Anuar Baharudin.

permukiman-zon-batu gajah 2

Kira-kira 5,000 warga Batu Gajah membanjiri Arena Square itu sejak pagi bagi mengambil bahagian di dalam aktiviti yang diadakan seperti karnival kerjaya dan pendidikan serta pameran jabatan dan agensi kerajaan.

Sambil mengucapkan syabas kepad kepimpinan UMNO / BN Gopeng yang berjaya menganjurkan program itu, Dr Zambry berkata, ia sangat bermakna kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Hamzah berkata, program yang anjurkan sejak Jumaat lalu telah mendapat sambutan yang sangat baik, bukan sahaja dari penduduk di Batu Gajah, tetapi juga dari seluruh Parlimen Gopeng.

Beliau menganggarkan antara 15,000 hingga 20,000 rakyat mendapat manfaat secara langsung daripada program yang dianjurkan itu.

Menurut beliau, aktiviti yang dianjurkan sepanjang program itu berbentuk keagamaan, khidmat masyarakat, sukan, pendidikan dan peluang kerjaya.

Pada majlus penutup itu, Dr Zambry turut menyampaikan pelbagai bantuan dan sumbangan di samping hadiah pertandingan yang diadakan sepanjang tiga hari permukiman.