HUTAN MELINTANG: Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPN) Perak komited untuk mengadakan lebih banyak program turun padang bagi menyelami masalah ahli, khususnya dalam setiap program permukiman daerah Menteri Besar kelak.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, pihaknya yakin bahawa permukiman merupakan platform terbaik untuk mendekati rakyat secara lebih telus, selaras dengan objektif PPN dalam memberikan peluang penjanaan ekonomi kepada ahlinya.

Katanya, kehadiran pertubuhan yang diasaskan sejak tahun 70-an di dalam program permukiman buat pertama kalinya itu adalah sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan negeri yang telah banyak membantu PPN.

Beliau memberi contoh, kerajaan negeri telah menyediakan tanah untuk diusahakan oleh PPN dan juga 30 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Perak.

“Inilah antara platform terbaik untuk kami memberi balik kepada rakyat setempat, mengenalpasti golongan kurang berkemampuan dan cuba membantu seadanya.

“PPN Perak juga bertekad dan bersetuju bahawa kami akan mengikuti kesemua program permukiman selepas ini, dan menggunakan pendekatan yang lebih baik seperti pergi rumah ke rumah,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui dalam Program Turun Padang Jalinan Tani PPN Perak pada Jumaat.

Dalam program tersebut, seramai 100 orang warga miskin dari PPK Hutan Melintang dan Bagan Datuk menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian.

Nadzri berkata, pihaknya berazam untuk melaksanakan pendekatan terus dan menemui kumpulan sasar, khususnya golongan miskin, bagi menyelami perasaan, masalah serta potensi sebenar mereka.

Dalam masa sama, ujarnya, pihaknya juga akan meneliti potensi yang ada pada ahli-ahli di samping merangka pelan tindakan untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Jika mereka tiada produk, kita bantu dan salurkan produk baru untuk dikembangkan, kalau sudah ada perniagaan kita akan memberi tunjuk ajar secara lebih sistematik dan teratur.

“Kita juga ada menyediakan modal tertentu bagi mereka yang ingin menceburi bidang pertanian, bidang jahitan, bidang keusahawanan wanita dan sebagainya seperti membuat sabun dan minyak wangi sendiri,” kata beliau.