IPOH: Lapan tahun lalu, sekeping foto menunjukkan seorang lelaki berusia lewat 40-an terbaring sekadar beralaskan “toto” di masjid menjadi tular di laman sesawang dan menjadi bualan ramai.

Mana tidaknya, ia adalah foto pemimpin negeri Perak sendiri iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sesuatu yang jarang sekali dilihat secara kebiasaannya.

Gambar tersebut, adalah bukti sebenar mengenai kerendahan hati seorang pemimpin yang kini dikritik keras berikutan kebiasaannya yang gemar “turun padang” dan dicerca sebagai lakonan semata-mata.

Baru-baru ini, pihak yang tidak senang mulai mengambil langkah drastik mungkin berikutan terkesan dengan impak positif dari Program Permukiman Menteri Besar yang memasuki siri keenam di Perak Tengah.

Tidak cukup dengan tohmahan secara terbuka, barisan kepimpinan kerajaan negeri yang mengikuti jejaknya dalam menyelami perasaan dan permasalahan rakyat juga turut dipandang rendah dan dipertikaikan.

Walhal, jauh sebelum istilah turun padang menjadi popular atau tular di laman sosial, Dr Zambry telah memulakan langkah untuk mendekati masyarakat tanpa mengira suku kaum dan latar belakang, malah kesusahan masyarakat menjadi nadi utamanya untuk sentiasa bekerja tak mengira masa.

Helah memancing undi, publisiti murahan, perhatian dari lensa media, pemimpin yang tidak mempunyai prioriti dan berlakon, adalah antara komen yang menyelar sikap Dr Zambry daripada golongan yang panas punggung terhadap segala perubahan positif di sekitar negeri Perak.

Hakikatnya, Program Permukiman Menteri Besar merupakan siri jelajah yang dirangka menurut draf 3P iaitu Turun Padang, Penyelesaian dan Perasaan sejak 2009 di mana beliau menyelesaikan tsunami politik dan mengambil alih tampuk kepimpinan.

Sejak siri pertama Program Permukiman MB pada Februari 2016 di Daerah Hulu Perak, Dr Zambry ternyata teguh bersikap tenang daripada segala jenis anasir murahan yang cuba menggugat kestabilan rangka pendekatan rakyat yang telah disusun secara rapi untuk membantu mensejahterakan rakyat.

“Cukup-cukuplah tu, itu komen ringkas Dr Zambry ketika diasak keras mengenai tindakan pihak yang mengutuk pendekatan ikhlas beliau kepada rakyat sejak 2009.

Malah, beliau yang dikenali sebagai Pele Pangkor berikutan ketangkasannya umpama lipas kudung bola sepak satu ketika dahulu turut membantunya untuk menjalinkan hubungan rapat dengan golongan belia serta anak muda dari mana-mana pelusuk negeri.

Dilahirkan di dalam keluarga nelayan, Pele Pangkor menjadikan pendidikan sebagai tulang belakang dalam perjalanan hidupnya dan seterusnya menjadi pembakar semangat untuknya menaikkan taraf hidup penduduk di sekeliling Perak.

“Saya tidak ingin mendengar alasan bahawa kemiskinan menjadi sebab untuk tertinggal dalam pendidikan,” ringkas ingatannya sejak lebih lapan tahun lalu.

Tabung Pendidikan Anak Perak, Biasiswa Kerajaan Negeri Perak adalah antara contoh keprihatinan beliau terhadap luhurnya ilmu untuk mengubah masa depan seseorang.

Malah, RM500,000 juga diperuntukkan untuk masyarakat Orang Asli pelbagai suku di sekitar Perak khusus untuk tujuan pendidikan sahaja.

Pahit maung sebagai pemimpin negeri Darul Ridzuan, cukup tabah dilalui beliau, khususnya apabila diuji dengan isu yang sengaja diperbesarkan oleh pihak “seberang” dan memberi gambaran bahawa beliau tidak layak mengetuai kepimpinan negeri ini.

Barangkali mereka lupa, atau pura-pura menutup mata mengenai kejayaan pelbagai isu perumahan yang dilakukan oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk membantu golongan memerlukan sehingga mendapat anugerah pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Pasti ramai yang tidak dapat melupakan betapa tenangnya Dr Zambry menghadapi tuduhan liar dan digelar sebagai pengganas ketika beliau mengikuti rombongan ke Amerika Syarikat bersama Perdana Menteri.

Beliau kemudian memfailkan saman, dan menang RM100 juta ke atas saman tersebut.

Bagi penulis, melihat sendiri Menteri Besar bersengkang mata pada lewat malam untuk melawat golongan fakir miskin, melakukan walkabout mengejut di bandaraya Ipoh, mengutip sampah dan berbual dengan kakitangan pembersihan, bermandikan lumpur bersama warga kampong dan mendekati masyarakat tanpa batasan atau had, bukanlah lakonan atau main wayang semata-mata.

Tanyalah sendiri kepada penduduk yang mendapat impak, kesan dan hasil positif hasil sentuhan Dr Zambry dan kepimpinan kerajaan negeri Perak, nescaya fitnah ringan itu akan menyepi dan lenyap dibawa angina.