IPOH – Siapa sangka kayu-kayu lama yang terbiar dimamah masa jika dikutip semula, dinilai mutunya untuk dijual dipasaran mampu membawa pulangan pendapatan yang lumayan.

   Menyedari hakikat ini telah mendorong seorang bekas anggota tentera, Abdul Hamid Dullah  untuk menceburi bidang perniagaan kayu lama.

   Abdul hamid kini merupakan pemilik Syarikat Straight To Point iaitu syarikat perniagaan kayu lama bumiputra  pertama di Perak yang beroperasi di 1A, Masjid Lama Tambun di sini.

   Setelah 10 tahun menerokai bidang perniagaan itu dengan pelbagai dugaan  dan rintangan, Hamid kini boleh berbangga kerana sudah mempunyai empat buah setor simpanan kayu-kayu lama daripada pelbagai jenis kayu termasuk cengal, meranti dan merbau.

   Namun begitu, menurutnya, matlamat utama pembabitannya dalam perniagaan itu adalah kerana menyedari kayu-kayan di negara ini sudah semakin pupus dan generasi baharu pula sudah tidak tahu tentang faedah dan kegunaan kayu-kayu lama sebagai sumber pendapatan.

   “Saya menceburikan diri dalam perniagaan bidang perkayuan ini sekitar sepuluh tahun kerana minat yang tinggi untuk  memelihara kayu-kayan kita di Malaysia ini selepas menyedari kayu-kayu lama ini banyak kegunaannya dan tahan lama,” katanya kepada Suara Perak.

   Beliau memberi contoh rumah-rumah tradisional yang sudah berusia lebih seratus tahun  tetapi masih tetap utuh seperti kayu cengal dan meranti.

   Katanya, ketika mula menceburi bidang itu, banyak menghadapi cabaran kerana ia merupakan satu bidang perniagaan yang luar biasa, namun akhirnya ia dapat ditangani dengan baik.

   “Alhamdullilah setakat ini permintaan kayu-kayu lama yang saya niagakan ini mendapat permintaan yang sangat baik dan yang sangat tinggi dikalangan masyarakat orang Melayu dan juga peminat-peminat kayu lama dari negara Thailand dan Indonesia,” tambahnya.

   Hamid memberitahu, beliau turut mendapatkan sumber kayu lama dari hutan-hutan seperti akar-akar lama cengal berusia 300 tahun yang terbentuk mengikut kejadian asal alam semula jadi untuk dihasilkan perabot hiasan dalaman rumah dan sebagainya.

   Sementara itu, Pengurus Straight To Point, Aida Dullah, menggalakan orang Melayu menceburi bidang berkenaan kerana ia membawa pulangan yang lumayan.

   Menurutnya, permintaan terhadap kayu-kayu lama yang berkualiti itu semakin mendapat permintaan tinggi terutama dalam bidang perhotelan.