TOKYO 25 Okt. – Perodua sedia mengkaji untuk memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan sejajar dengan perkembangan automotif global ke arah penggunaan kenderaan mesra alam.

Naib Presiden Perodua Auto Corp. Sdn. Bhd., Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, buat masa ini masih belum ada perancangan bila untuk model EV diperkenalkan.

Beliau berkata, pada masa ini Perodua masih mengutamakan kenderaan cekap tenaga (EEV) dengan menjadikan enjin lebih jimat penggunaan minyak.

“Kita belum buat apa apa lagi (mengenai EV) cuma kita boleh buat kajian untuk EV kerana sistem enjin sedia ada boleh dipertingkatkan lagi.

“Sebelum kita memperkenalkan EV, kita perlu laksanakan kajian pasaran dan kesesuaiannya di negara kita,” katanya pada wartawan Malaysia sempena Tokyo Motor Show 2017 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE