KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) memperuntukan RM5 bilion untuk membeli komponen daripada vendor tempatan tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata jumlah peruntukan itu adalah untuk penghasilan 209,000 unit kenderaan yang disasarkan PERODUA.

“Walaupun ini sememangnya jumlah yang besar, sumbangan kami terhadap vendor tidak berakhir dengan pembelian komponen semata-mata tetapi kami turut memberi sokongan dalam pembangunan dan pertumbuhan mereka.

“Kami bekerjasama dengan vendor dengan sebaik mungkin kerana kejayaan kami juga bermakna kejayaan mereka.

“Walaupun kami menjangkakan pembelian komponen akan sedikit meningkat tahun ini berbanding 2017, kami juga akan membantu mengurangkan pembaziran dan ia akan meningkatkan kecekapan operasi vendor dengan tujuan untuk meningkatkan lagi keuntungannya,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina di sini, sebentar tadi.-msn