KAMPAR – Perokok akan diberi tempoh amaran (grace period) selama enam bulan terlebih dahulu sebelum sebarang saman dikeluarkan sebaik sahaja pelaksanaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, walaupun larangan itu akan berkuatkuasa bermula 1 Januari depan namun kementeriannya akan menggunakan pendekatan mendidik serta memberi nasihat terlebih dahulu kepada pesalah yang melanggar larangan berkenaan dalam tempoh berkenaan.

“Kita akan memberikan amaran (dalam tempoh enam bulan) kepada perokok jika mereka merokok di restoran terbuka.

“Bagaimanapun, selepas tempoh itu jika perokok enggan mempedulikan amaran dan terus merokok, maka kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan (saman) serta-merta.

“Pendekatan ini diambil kerana matlamat kementerian bukan untuk menghukum, sebaliknya memberi pendidikan kepada perokok,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatna kerja ke klinik kesihatan Malim Nawar di sini pada Isnin.

Bagi pihak pemilik restoran pula, mereka juga akan diambil tindakan sekiranya didapati masih menyediakan tempat abu rokok dan tidak menampal papan tanda dilarang merokok di premis masing-masing bermula 1 Januari depan.

“Selagi pemilik-pemilik restoran ini menampal papan tanda dilarang merokok dan juga tidak menyediakan tempat abu rokok di premis-premis masing, mereka akan dianggap telah menjalankan tanggungjawab mereka, jika tidak mereka juga turut akan didenda,” ujarnya.