Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat kritikan daripada pelbagai pihak terutamanya dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), kerana menerima bekas wakil rakyat Umno yang keluar parti.

Rungutan juga datang dari Bersatu sendiri berhubung perbezaan pendapat tentang pendekatan untuk menangani bekas wakil rakyat Umno yang ingin menyertai parti itu.

Di peringkat parlimen, Bersatu setakat ini sudah menerima tiga bekas ahli parlimen Umno iaitu Mustapa Mohamed (Jeli), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Ketiga-tiga mereka keluar Umno untuk menjadi ahli parlimen bebas sebelum menyertai Bersatu. Sejumlah 12 ahli parlimen yang lain juga keluar Umno dan terdapat spekulasi mereka juga akan menyertai Bersatu.

Kritikan lazim yang didengar adalah bekas wakil rakyat Umno berkenaan akan membawa budaya politik wang ke dalam Bersatu.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan seumpama itu, terdapat persaingan antara ‘orang lama’ dan ‘orang baru’.

Sekian lama, Umno didakwa meminggirkan golongan muda untuk memastikan panglima politik atau ‘orang lama’ kekal berkuasa.

Sedangkan, 65 peratus anggota Bersatu terdiri daripada golongan muda.

“Kita mengalu-alukan bekas pemimpin Umno yang baik yang ada pengalaman urus tadbir, masayrakat dan (faham) kekuatan ekonomi. Yang tak baik hanya mahukan jawatan.

“Walaupun diletak syarat yang masuk tak layak bertanding, bagi saya memang tak adil (untuk menerima mereka),” kata Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah.

Adhif Syan Abdullah

Adhif mengakui bahawa terdapay kebimbangan penghijrahan bekas wakil rakyat Umno akan meminggirkan kepimpinan ketika ini yang terdiri daripada golongan muda.

“Ini merupakan kebimbangan dalam kalangan anggota yang menjadi sebahagian daripada perjuangan parti,” katanya.

Semantara itu, Pengerusi Bersatu Terengganu Razali Idris, menyatakan kebimbangan sekiranya Bersatu tidak mengambil wakil rakyat Umno yang keluar parti, mereka mungkin akan menyertai PAS.

Razali Idris 

“Kita perlu perkukuhkan parti kita. Jika kita tidak membenarkan orang Umno sertai Bersatu, merekan mungkin menyertai PAS, siapa yang rugi? Lebih baik mereka menyertai kita daripada PAS,” katanya.

Kebanyakan kerusi yang ditandingi Bersatu pada PRU lalu merupakan kerusi yang secara tradisi ditandingi PAS.

Bersatu gagal menang kerusi parlimen di Kelantan dan Terengganu, sementara PAS meraih 15 kerusi dan Umno tujuh.

Razali yang dilantik sebagai senator, juga berkata beliau tidak berasa terancam dengan kemungkinan akan digantikan oleh anggota Bersatu baru yang datang dari Umno.

“Saya tidak pernah risau tentang perkara ini. Jika sebagai ketua bahagian, dia berkhidmat dengan baik, saya tak nampak dia boleh gugat parti.

“Meskipun mereka sertai Bersatu, mereka tak tahu nasib mereka pada PRU akan datang. Tiada perjanjian bahawa mereka boleh menjadi calon dalam PRU akan datang sekiranya menyertai Bersatu,” katanya.

Razali dikalahkan oleh calon Umno, Rasol Wahid di Hulu Terengganu bagi kerusi parlimen. Rosol sudah keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Bagi Setiausaha Bersatu Pagoh, Atiman Kadir pula, tumpuannya lebih kepada anggota Umno biasa yang ingin menyertai Bersatu.

Atiman Kadir

“Rakyat akan tahu bahawa kesalahan (beberapa) pemimpin Umno dan BN tidak dapat dimaafkan. Bagi anggota biasa, mereka boleh menyertai parti dan membantu kita,” katanya.

Sebelum penubuhan Bersatu, Umno dan PAS secara tradisinya merupakan mempunyai penyokong akar umbi dari kalangan orang Melayu yang kuat. Meskipun PKR dan Amanah dilihat meluaskan pengaruh di selatan tanah air, kedua-dua parti itu masih berdepan kesukaran untuk menembusi negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, tidak semua anggota Bersatu yang menyertai parti itu ketika ia ditubuhkan menyatakan keyakinan dengan pendekatan parti mereka.

Ketua Bersatu Pendang Abdul Razak Khamis menyatakan kebimbangan penghijrahan bekas wakil rakyat Umno akan menyebabkan pergeseran antara Bersatu dan sekutu dalam PH, yang akan menggugat gabungan itu.

“Rakyat akan kecewa dengan wakil rakyat mereka yang tukar parti dan saya bimbang kekecewaan itu akan ditujukan kepada kita (Bersatu),” katanya.

Abdul Razak, yang menyokong undang-undang melarang lompat parti, juga bimbang bekas wakil rakyat Umno itu akan dibenarkan bertanding semula di kerusi mereka dan seterusnya menukar parti lain sekiranya situasi berubah.

Kepimpinan pusat Bersatu sebelum ini berulang kali memberi jaminan bahawa anggota dan bekas wakil rakyat Umno yang ingin menyertai Bersatu akan ditapis, malah akan menubuhkan jawatankuasa bagi tujuan itu yang akan dipengerusikan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir.

Menjelasng perhimpunan agung Bersatu hujung minggu ini, anggota parti dijangka menyuarakan kebimbangan mereka terhadap penghijrahan bekas wakil rakyat Umno ke dalam parti mereka – Malaysia kini