KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menghapuskan pelaksanaan cukai hiburan sebanyak 25% ke atas taman tema di negara ini bagi memastikan industri tersebut terus berkembang demi manfaat kepada rakyat.

Perkara tersebut disuarakan Pengerusi Persatuan Hiburan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia(MAATFA), Richard Koh Cheng Keong yang berpendapat, kewujudan taman tema tidak sama dengan pusat hiburan seperti pawagam, kelab malam dan lain-lain yang sewajarnya dikenakan cukai hiburan.

Sebaliknya, beliau berkata taman tema yang pembinaannya menelan kos jutaan ringgit bergantung kepada saiz dan jenis, merupakan lokasi bersantai keluarga terutama pada hujung minggu, termasuk golongan pertengahan.

Richard berkata, jika taman tema terus dikenakan cukai yang tinggi maka sudah pasti ia akan membebankan pengunjung yang terpaksa membayar harga tiket lebih tinggi.

“Kenaikan ini sudah pasti membebankan pengunjung terutama keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.

“Kerajaan seharusnya melihat situasi ini dengan turut mengambil kira kebanyakan negara luar yang tidak mengenakan sebarang cukai ke atas taman-taman tema.

“Kita minta kerajaan negeri, kerajaan pusat kecualikan 25% cukai melibatkan taman tema,” katanya kepada pemberita di Wisma Matta sempena promosi cuti-cuti Malaysia.

Richard berkata pihaknya akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat supaya cukai 25% ini dihapuskan.

“Selain perdana menteri, kami juga akan hantar kertas cadangan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri dalam masa terdekat.

“Kami juga telah menghantar kertas cadangan sama kepada kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada awal Januari lalu termasuk kepada Lim Guan Eng dan Mohamaddin Ketapi sebelum ini,” katanya.

Katanya, cukai 25% yang dikenakan dengan mengambil kira Akta Duti Hiburan 1953 di mana undang-undang itu terlalu lama dan perlu dikaji semula.

“Sebab Akta Duti Hiburan 1953 sudah lama undang-undang ini, dulu taman tema ada boxing, joget, memang wajar kalau nak kenakan cukai, sekarang taman tema untuk keluarga sahaja, sudah tidak ada joget dan sebagainya, jadi ia perlu dikecualikan, Singapura, Hong Kong tidak ada cukai kalau melibatkan taman tema,” katanya.

Kenaikan cukai 25% itu diluluskan di Dewan Rakyat pada Mei 2001.

Katanya, pengecualian cukai 25% itu pernah dilersetujui ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri bagaimana ia ditarik semula oleh pentadbiran selepas itu.

Rugi akibat Covid-19

Dalam perkembangan lain, Richard berkata ahli persatuan MAATFA juga mengalami kerugian hampir RM40 juta akibat kekurangan pengunjung ke taman tema akibat Covid-19.

“Bersasarkan maklumat dari ahli-ahli MAATFA kerugian lebih kurang RM40 juta sejak virus Covid-19 melanda 2 bulan lalu.

“Anggaran penurunan pengunjung itu juga sebanyak 20% hingga 40% bermula awal Januari hingga penghujung Februari,” katanya yang tidak menolak antara faktor orang ramai takut berkunjung ke taman tema kerana terpengaruh dengan berita tidak benar di media sosial.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, bermula awal Mac jumlah pengunjung menunjukkan peningkatan.

“Kita harap ia akan kembali normal dalam beberapa bulan akan datang, jika tiada lagi berita negatif berhubung Covid-19 kerana kita bergantung kepada pengunjung tempatan untuk datang.

“Kita bersama ahli persatuan juga menitik beratkan soal keselamatan kesihatan kepada pengunjung yang datang, malah diskaun juga turut diberikan,” katanya sambil memaklumkan di Melaka, kerajaan negeri itu menurunkan cukai hiburan kepada 10%.

Tambahnya, sebanyak 82 taman teman seluruh negara yang diseliakan 52 ahli persatuan MAATFA.