IPOH: Persatuan Pelancongan Perak akan memberi sokongan penuh sekiranya kerajaan menangguhkan penguatkuasaan Akta Cukai Pelancongan 2017 kepada Ogos depan.

Presidennya, Odzman Abdul Kadir berkata, beliau berpendapat akta berkenaan masih dalam keadaan “separuh masak” dan tidak adil kepada pemain-pemain industri pelancongan sekiranya ia tetap dilaksanakan pada Julai ini.

Menurut beliau, walaupun cukai itu akan memberi manfaat kepada industri pelancongan negara namun satu perbincangan meja bulat perlu diadakan bersama-sama pemain industri itu atau lebih khususnya pengusaha hotel.

“Jangan tangguh sahaja, kalau boleh pengusaha-pengusaha hotel dan individu-individu terlibat harus dipanggil untuk berbincang serta diberi taklimat kerana kesemua mereka ini masih lagi tidak faham mengenai cukai ini.

“Sokong itu memang kita sokong, apa yang ditentukan kerajaan kita menyambut baik kerana ianya memang untuk kebaikan industri pelancongan namun masalahnya ialah kebanyakannya masih tidak jelas bagaimana ia akan dilaksanakan,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kebanyakan pemain industri yang ditemuinya juga meluahkan rasa terkilan kerana cukai berkenaan diwujudkan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa melibatkan mereka.

“Sekiranya pada permulaan pun masyrakat dan pengusaha sudah tidak faham, ianya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap cukai ini jadi itu yang kita tidak mahu.

“Kita tak mahu masyarakat, pemain-pemain industri mempunyai sikap negatif dan takut dengan cukai ini,” ujar beliau.

Beliau turut mencadangkan cukai yang dipungut itu nanti turut dibahagikan kepada kerajaan negeri untuk mempromosikan pakej-pakej pelancongan mereka sendiri.

Kerajaan sebelum ini telah memutuskan untuk melaksanakan cukai pelancongan dengan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam di hotel-hotel mengikut bintang dan akan dikuatkuasakan bermula 1 ini.