IPOH: Persatuan Pemilik dan Pengusaha Bengkel Automatif Bumiputera Perak yang baru ditubuhkan April lalu mensasarkan untuk mengdaftarkan antara 150 dan 200 ahli menjelang hujung tahun hadapan.

Pengerusinya, Hadiman Ariffin berkata, setakat ini, kira-kira 70 pemilik dan pengusaha bengkel di negeri ini telah menjadi ahli persatuan.

Menurut beliau, sebagai sebuah persatuan yang baru, pihaknya telah merancang beberapa aktiviti untuk membantu memperkasakan usahawan automatif di negeri ini.

“Antara masalah yang dikenalpasti dihadapi mereka ialah lesen kewangan, lesen pihak berkuasa tempatan, bekalan alat ganti dan modal pusingan,” katanya kepada Suara Perak selepas majlis perjumpaan dengan Yang Di Pertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah di sini, hari ini.

Lebih 30 usahawan automatif dari seluruh negeri Perak menghadiri perjumpaan itu bagi membincangkan langkah untuk membantu usahawan berkenaan.

Hadiman berharap, lebih ramai pemilik dan pengusaha bengkel automatif bumiputera di negeri ini akan tampil dan berdaftar sebagai ahli persatuan.

Sementara itu, Muhiyuddin mengalu-alukan penubuhan persatuan tersebut bagi memperjuangkan arah tuju dan masa depan kumpulan tersebut secara kolektif.

“Saya berharap ahli-ahli dapat merapatkan silaturrahim dan sekiranya ada masalah yang timbul, sebaik-baiknya dibincangkan di peringkat persatuan untuk mencari jalan penyelesaian,” ujarnya.

Menurut beliau, DPPM Perak bersedia untuk membantu ahli-ahli persatuan yang menghadapi masalah melalui jaringan-jaringan yang telah diwujudkan, baik di peringkat negeri, mahupun di peringkat kebangsaan.