IPOH – Persatuan Perniagaan Kayu-Kayan Perak (Perak Timber Trade Association) menyumbang sebanyak RM123,000 kepada Tabung Harapan Malaysia.

Presidennya Datuk Cheah Keng Meng berkata ahli persatuan gembira dengan pengambil alihan Pakatan Harapan sebagai kerajaan negeri dan persekutuan dan menyifatkan sumbangan tersebut sebagai tanda terima kasih.

“Kami gembira dapat menyumbang untuk Tabung Harapan Malaysia dan mengharapkan agar dapat membina hubungan yang lebih baik dengan kerajaan negeri yang baharu ini.

Di samping itu, Persatuan Perniagaan Kayu-Kayan Perak juga tidak sabar untuk bekerjasama dengan YAB Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dan keseluruhan kerajaan negeri Perak,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

YAB Ahmad Faizal yang hadir menerima cek tersebut juga turut mengucapkan terima kasih di atas kesudian persatuan itu menyumbang untuk Tabung Harapan.

Beliau yang bergegas hadir ke majlis tersebut setelah menjayakan program sesi wawancara di Radio Malaysia Perak FM, Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri Perak Datuk Abu Bakar Said, Pengerusi Jawatankuasa Belia,Sukan dan Pembangunan Modal Insan, YB Howard Lee Chuan How, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru YB Paul Yong Choo Kiong dan ahli-ahli Persatuan Perniagaan Kayu-Kayan Perak.