Punjab (India): Seorang penari wanita yang hamil ditembak mati ketika membuat persembahan ketika majlis perkahwinan selepas sekumpulan tetamu mabuk berang kerana tidak dibenarkan naik ke atas pentas.

Rakaman video kejadian menunjukkan Kulwinder Kaur, 25, ditembak membuat persembahan pada majlis itu di Bathinda, Punjab, baru-baru ini dan disebarkan di Internet.

Empat orang sudah ditahan untuk membantu siasatan, termasuk seorang anggota parti politik Sikh dan rakannya.

Dalam rakaman itu, sekumpulan wanita dilihat menari di atas pentas sebelum seorang lelaki muncul memegang pistol yang diacukan ke atas sebelum tembakan dilepaskan.

Mangsa yang hamil tiga bulan kemudian dilihat rebah manakala orang ramai didengar menjerit dan bertempiar menyelamatkan diri.

Sementara itu, suami mangsa, Rajinder Singh berkata, penganjur majlis enggan membenarkan kumpulan lelaki mabuk itu naik ke pentas bersama penari wanita terbabit menyebabkan mereka marah.

Mangsa mati serta-merta.

Sementara itu, Superintendan Kanan Polis Swapan Sharma berkata, dua pistol yang ditemui dimiliki ahli politik berkenaan dan rakannya.

Katanya, ahli politik itu dilihat melepaskan tembakan di dalam video terbabit.