IPOH – Hujan kadang kala lebat di Bandaraya Ipoh sejak dua hari lalu terutama pada waktu petang merencatkan sedikit persiapan pasukan Perak menjelang final Piala FA 2019, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic bagaimanapun berkata setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan pihaknya mencari alternatif lain termasuk berlatih di gimnasium.

“Kami tidak boleh berlatih kerana hujan lebat, cuma membuat latihan ringan di gimnasium, semoga esok tidak hujan supaya kami dapat berlatih di padang,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Perak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tahap kecergasan pemain, Mehmed berkata beberapa anak buahnya mengalami kecederaan namun dijangka sempat pulih sebelum aksi final Sabtu ini.

“Hussein El Dor tidak berlatih bersama kami, dia hanya berjoging, begitu juga dengan Leandro Dos Santos. Ada juga beberapa pemain alami kecederaan, tetapi Insya Allah diharapkan mereka dapat berlatih bersama-sama esok.

Mengenai pasukan lawan, Mehmed berkata skuad jiran itu merupakan pasukan yang hebat kerana memiliki jurulatih serta pemain tempatan dan import yang bagus.

Skuad “The Bos Gaurus” mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Pahang menerusi agregat 4-3, manakala Kedah di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak ke pentas final menerusi kelebihan jaringan tempat lawan selepas terikat 3-3 dengan Felda United.

Kali terakhir Perak berjaya ke final adalah pada 2005, menentang Selangor manakala Kedah membawa pulang Piala FA pada edisi 2017 selepas menumpaskan Pahang 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

 

– BERNAMA