KUALA LUMPUR: Persiapan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah memasuki fasa terakhir dengan tumpuan seluruh barisan jentera harus berpaksikan kepada usaha untuk memenanginya, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam amanatnya kepada para anggota perwakilan dan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri parti hari ini jelas mahukan soal lain termasuk pemilihan parti diketepikan dahulu kerana jawatan parti tiada maknanya jika tidak mendapat sokongan padu rakyat dalam PRU.

Katanya, Najib yang juga Perdana Menteri telah memberikan isyarat supaya UMNO membuat persiapan menghadapi PRU14 pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas.

“Dalam satu tahun ini, banyak benda telah kita lakukan dan sekarang ini merupakan ‘last mile’ (peringkat akhir).

“’Last mile’ ini kita kena gemblengkan semangat, rapatkan barisan, pastikan tumpuan kita bukan kepada pemilihan parti tetapi terhadap PRU yang akan kita hadapi tidak lama lagi,” kata Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, kepada pemberita selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Taklimat dua jam itu, yang diadakan secara tertutup di Dewan Merdeka, merupakan pembuka acara bagi Perhimpunan Agung UMNO yang dihadiri 5,739 anggota perwakilan dari seluruh negara.

Ditanya jika Najib memberikan petanda yang lebih jelas mengenai tarikh PRU14, Hishammuddin berkata kesiagaan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya itu harus dipertingkat ke tahap optimum seolah-olah ia akan diadakan esok.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata meskipun tarikh sebenar PRU tidak didedahkan perdana menteri, namun adalah amat penting untuk semua peringkat bersiap sedia dan melaksanakan gerak kerja setulus hati bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Najib yang juga Pengerusi BN akan menggunakan kaedah pemilihan calon bertanding berdasarkan apa yang dikehendaki rakyat.

“Bukan (tentang) apa yang Ketua UMNO Bahagian atau Timbalan Ketua UMNO Bahagian hendakkan untuk kawasan itu,” kata Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.