IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri Belia (Dewan Belia) negeri Perak akan diadakan selama dua hari, pada 8 dan 9 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, semua 60 ahli Dewan Belia yang sedia ada dikekalkan tetapi dengan sedikit perubahan dan penambahbaikan.

Menurut beliau, pembaharuan itu ialah semua mereka yang terlibat, bermula daripada Speaker hingga kepada Setiausaha, terdiri daripada golongan belia, di samping tiada lagi pembahagian ahli kepada tujuh jawatankuasa.

“Kerajaan negeri berharap, Dewan Belia ini akan menjadi cerminan lanskap politik negeri dan DUN Perak, kita tidak mahu golongan belia hidup bukan di alam sebenarnya,” katanya pada sidang media di Bilik Media di sini, hari ini.

Howard turut mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Teoh Yee Chern, 28, sebagai Speaker yang baharu di samping Nabilatul Husna Shamsul Munir, 22 dan Kamal Azureen Adika Kamal Ariffin, 29, sebagai Timbalan Speaker I dan II serta P. Jivithra, 24 sebagai Setiausaha.

Sementara itu, Yee Chern memberitahu, setakat ini terdapat 20 usul yang diterima dan terbuka kepada ahli dewan untuk berbahas, selagi ia tidak bertentangan dengan perlembagaan dan sensitiviti masyarakat.

“Kebebasan bersuara diterapkan ke dalam format persidangan Dewan Belia yang baru dan tiada halangan kepada perwakilan sama ada untuk berbahas atau tidak,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, sekiranya usul-usul itu diterima, berkemungkinan ia akan dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk dipertimbangkan menjadi dasar belia di negeri ini.

“Perwakilan Dewan Belia mempunyai ruang untuk membentang usul yang diluluskan kepada MMK untuk mengetahui maklum balas mengenai pelaksanaan usul terbabit, dapat dilaksanakan atau sebaliknya,” tambah beliau.