BAGAN DATUK: Pendapatan negara daripada hasil petroleum yang kini berada pada tahap optimum membuktikan bahawa kerajaan sedia ada tidak mengalami kemerosotan pengurusan kewangan malah jauh daripada status bankrap.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesemua pulangan pendapatan baik dari segi petroleum dan percukaian itu juga akan digunakan bagi melaksanakan manifesto yang dibentangkan Barisan Nasional dalam perancangan lima tahun akan datang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pembentangan belanjawan yang dibuat oleh kerajaan baru-baru ini juga mendapati nilai petroleum secara puratanya telah meningkat kepada AS Dollar 60 satu tong berbanding dengan AS Dollar 59 satu tong sebelum ini.

Justeru, Ahmad Zahid berkata peningkatan harga ini akan membawa kepada peningkatan pendapatan negara yang akan digunakan untuk melaksanakan program-program yang dirancang dalam Aku Janji dan manifesto Barisan Nasional kepada rakyat.

“Mana mungkin reserve kita meningkat, kalau negara kita bankrap, dan mana mungkin projek ini dilaksanakan kalau pengurusan kewangan negara tidak dijalankan sepenuhnya?

“Ini (sebenarnya) memperlihatkan bahawa pengurusan kewangan negara dan juga sistem penyampaian, yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional adalah sesuatu yang rasional untuk dilakukan, sesuatu yang boleh dilaksanakan, malah ini terbtukti perlaksanaanya di dalam “Aku Janji” sebelum ini,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melaksanakan lawatan Walkabout Sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat Perkarangan Wisma UMNO Bagan Datuk, Kg Parit 4, Sungai Sumun, di sini hari ini.

Tambahnya, selain itu, hasil daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selama ini juga akan dikembalikan kepada rakyat melalui beberapa jenis insentif dan bantuan justeru memperlihatkan status kerajaan yang tidak bankrap.

Malah, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa reserve negara ketika ini seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia adalah berada di nilai tahap tertinggi iaitu 108 billion US Dollars.

Ahmad Zahid, juga berkata pihaknya telah meneliti mengenai janji dan manifesto yang dibentangkan oleh pembangkang mengenai mengambil alih lebuhraya sedia ada.

Jelasnya, perlaksanaan itu akan menelan kos mencecah RM300 billion namun sumber pengurusan kewangan bagi tujuan tersebut tidak dijelaskan secara terperinci oleh parti pembangkang.

Katanya, setiap tindakan yang dilakukan oleh Barisan Nasional dalam melaksanakan Aku Janji dan manifesto adalah sesuatu yang rasional dan boleh dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan logik.