MANJUNG – Hampir majoriti 24 kerusi Parlimen dan 59 Dewan Undangan Negeri di Perak menyaksikan pertembungan tiga penjuru, sekaligus tiada kawasan yang diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry turut berpuas hati dengan perjalanan proses penamaan calon yang berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi dari penyokong parti.

“Melihat kepada trend, penamaan calon melibatkan tiga penjuru di kebanyakan tempat melainkan di kawasan-kawasan yang mempunyai parti di mana majoritinya pengundi Cina.

“Secara keseluruhannya saya dapati semua tempat nampaknya mempunyai pertandingan, dan tidak ada kawasan menang tanpa bertanding (menang secara percuma)

“Kita mendapati ada kawasan tertentu yang hanya membabitkan (pertembungan) dua penjuru di negeri ini antara BN dan juga kebanyakannya DAP lah yang menggunakan lambang PKR,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selesai proses penamaan calon, di sini pada Sabtu.

SPR sebelum itu mengumumkan, sebanyak 10 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen di Perak menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Sepuluh DUN itu ialah Pokok Assam, Aulong, Jalong, Canning, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Pantai Remis, Astaka dan Keranji.

Dua kerusi Parlimen pula ialah Ipoh Timur dan Ipoh Barat.

Dr Zambry yang turut bertanding di kerusi Parlimen Lumut dan DUN Pangkor berharap agar perjalanan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung tanpa melibatkan sebarang masalah.

“Harapan kita juga kempen berjalan baik dan beradab serta elak perkara yang menyentuh sensitiviti,” katanya.

Parlimen Lumut menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara BN, PKR dan PAS, sama seperti di dua DUN iaitu Pangkor dan Pasir Panjang.

Pecahan kaum di Parlimen Lumut melibatkan Melayu (43,384), Cina (10,046) dan India (7,683).

1/5