IPOH: Orang ramai dijemput mengambil bahagian di dalam pertandingan fotografi yang dianjurkan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XIX pada 12 – 22 September ini.

Hadiah lumayan disediakan, termasuk hadiah utama wang tunai RM10,000, kategori emas RM3,000, perak RM2,000 dan gangsa RM1,000.

Selain itu, turut disediakan 10 hadiah merit dan 10 hadiah saguhati kepada peserta yang mengambil bahagian.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berharap orang ramai mengambil peluang menyertai pertandingan itu dengan merakamkan detik-detik menarik sepanjang temasya SUKMA XIX.

“Sebagai rakyat Perak, kita pastinya berbangga kerana negeri Perak terpilih sebagai tuan rumah SUKMA 2018 dan pertandingan ini sudah tentunya akan menyemarakkan lagi SUKMA kali ini.

“Kerajaan negeri dan juga Tourism Perak Management Berhad menyokong usaha ini kerana ianya akan membantu mempromosikan SUKMA,” katanya pada sidang media melancarkan pertandingan itu di pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Photografi Perak, Chuah Ai Ngor.

YAB Ahmad Faizal berpendapat, pertandingan foto itu amat penting bagi mengabadikan kenangan sepanjang temasya SUKMA XIX yang pertama kali diadakan di semua 12 daerah di negeri ini.

“Saya harapkan pertandingan ini akan menyemarakkan minat orang ramai terhadap bidang fotografi dan mencungkil bakat-bakat muda.

“Pertandingan ini mencabar kerana ia memerlukan kepakaran untuk merakamkan gambar-gambar aksi dan saya difahamkan pertandingan ini terbuka kepada semua peminat-peminat seni foto tempatan dan luar negara,” ujarnya.

Menurut beliau, semua gambar yang memenangi pertandingan itu akan dipamerkan di Aeon Big Falim untuk tontonan orang ramai.

Borang pertandingan boleh didapati di SLR Centre, New World Shoping Mall atau memuat turun di laman facebook New B Foto Art Perak atau di kedai-kedai gambar di sekitar Ipoh seperti Foto Ekono, Kok Kin, Poon Foto, Pusat Warna Fotomas dan Fotokem.