IPOH: Kejohanan Snooker Piala Amanjaya Tertutup Malaysia (Amanjaya Cup) yang julung kalinya diadakan di Perak akan dijadikan sebagai platform mencungkil bakat belia untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pihaknya akan melihat peserta-peserta kejohanan berkenaan secara dekat ketika kejohanan, bagi mengenal pasti belia yang berkebolehan dan seterusnya diberi bimbingan untuk mengembangkan potensi mereka.

“Snooker ini merupakan salah satu sukan yang semakin diterima ramai, malah Sukan SEA juga ketika ini sedang menimbang semula untuk memasukkan sukan itu, jadi kejohanan ini boleh digunakan untuk mencari bakat,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Program, Al Yashir Yahaya berkata, kejohanan itu merupakan kerjasama di antara Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Perak dengan Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Pemuda Barisan Nasional Perak, Cyber One Snooker Centre Ipoh dan Persatuan Melayu Bersatu Perak.

“Kejohanan ini telah mendapat sambutan yang sangat mengalakkan daripada pemain-pemain profesional snooker seluruh negara yang mana dalam tiga hari diiklankan 54 slot telah dipenuhkan.

“Kejohanan ini akan diadakaan pada 8 hingga 14 Mei 2017 di Cyber One Snooker Ipoh Perak dan hanya terbuka kepada 64 slot sahaja yang mana satu slot untuk satu pemain,” kata beliau.

Tambah beliau, kejohanan itu menawarkan hadiah yang lumayan di mana hadiah pertama bernilai RM5,000 dengan yuran penyertaan hanya RM100.

“Untuk memeriahkan lagi kejohanan, kita juga sediakan kategori Semi-Pro Tertutup Pemuda BN.

“Yuran penyertaan bagi kategori semi-pro ialah hanya RM30 dan hanya terbuka kepada 32 orang sahaja, hadiahnya ialah RM500 bagi tempat pertama, RM300 untuk tempat kedua dan RM100 untuk tempat ketiga dan keempat,” ujarnya.