KUALA KANGSAR– Mengangkat batang kelapa, meredah hutan sehinggalah kepada acara menarik trekter, itu sebahagian daripada cabaran yang perlu ditempuh oleh peserta pertandingan orang kuat tradisional, Badang Ethnosport Challenge 2018.

Memasuki tahun kelima penganjurannya, sambutan terhadap sukan lasak menguji stamina ini tidak pernah menghampakan, malah semakin mendapat tempat di hati peserta dan delegasi dari World Ethnosport, United Word Wrestling serta World Strongmen Federation.

Lokasi program yang berdekatan dengan bendang di Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau menjadi medan pertempuran peserta yang berlangsung selama tiga hari bermula 7-9 September.

Menurut Pengerusi Penganjur Badang Ethnosport Challenge, Meor Samsudin Abu Hassan, seramai 32 peserta dari 24 buah negara terlibat dalam cabaran bagi tahun ini selain menampilkan kategori Walinongsari bagi peserta wanita.

“Penyertaan tahun ini adalah yang paling ramai, kita dapat rasakan tahun ini program bertaraf antarabangsa, sebelum ini masih dalam promosi.

“Daripada 32 peserta itu, 15 daripadanya dari negara luar, bagi tahun ini ada yang dari Brunei, Indonesia, Australia dan Turki,” katanya kepada pemberita di program Badang Ethnosport Challenge 2018 di Lubok Merbau pada Sabtu.

Program tersebut turut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

Sementara itu, Tan Kar Hing ketika ditemui berkata, sukan lasak ini disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri Perak pada tahun hadapan.

“Dari segi promosi dan peruntukan yang disalurkan kita akan pertingkatkan, kita telah adakan perbincangan dan sukan ini ada potensi untuk dikembangakan di tempat lain.

“Keunikan dari segi budaya dan seni di daerah lain negeri Perak turut diambil kira, kalau ada usaha dari kolej dan universiti yang boleh angkat sukan ini sebagai program, ia lebih baik dari dianjurkan setahun sekali,” ujarnya.

Bagi para peserta pula, keunikan dan cabaran yang disediakan saban tahun memberikan pengalaman berharga selain dapat merasai suasana desa di Labu Kubong.

“Saya pernah rasai suasana di Kuala Lumpur, di sana memang sibuk dan sesak tetapi di sini suasananya berbeza dengan penduduk yang mesra dan ramah, penganjuran sukan di sini sangat sesuai,” kata peserta dari Australia, Jeremy Hogg.

Muhammad Nur Arif Mohd Khalil dari Johor Bahru antara peserta yang terlibat bagi kali ketiga, dia berharap agar sukan ini mendapat penyertaan yang lebih ramai di masa akan datang.

“Sukan ini benar-benar mencabar stamina saya, ia memerlukan kita berlari dan angkat bebanan yang berat, saya perlu turunkan berat badan mengikut kesesuaian kategori dalam masa dua minggu,” kata Muhammad Nur Arif.

Dalam pada itu, salah seorang peserta wanita negara dari Kuala Lumpur, D. Abiramy Divyadarshini turut mengalakkan lebih ramai penglibatan golongan wanita dalam sukan itu.

“Wanita juga boleh terlibat dengan sukan ini, tiada masalah dan usah risau ada kategori yang bersesuaian dengan peserta wanita. Tahap kardio sukan ini berbeza dengan yang lain, apa yang penting kita ‘enjoy’ dengan acara yang dipertandingkan,” kata Abiramy.

Sebahagian disiplin yang dipertandingkan seperti Kandar Waja (mengandar beban di dalam sawah padi), Pelukan Badang ( membawa beban secara memeluk beban di dalam sawah padi) dan Balikan Gempa (mengangkat dan menolak tayar berat 350 kg dan 450 kg).