CAMERON HIGHLANDS – Kerusi Parlimen P078 Cameron Highlands menyaksikan pertembungan lima penjuru apabila Ketua Pemuda MIC Kebangsaan Datuk C.Sivarraajh ditentang empat calon lawan.

Empat calon tersebut ialah Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS, M. Manogran dari PKR yang bertanding kali kedua bagi kerusi tersebut dan Mohd Tahir Kassim.

Satu lagi calon adalah daripada PSM iaitu Suresh Kumar Balasubramaniam.

Sivarraajh tiba di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands bersama dua calon BN bagi DUN N01 Tanah Rata Leong Tak Man dan DUN N02 Jelai Cameron Highlands Datuk Wan Modh Rosdy Wan Ismail.

Mereka hadir diiringi lebih 500 penyokong pada 8.50 pagi.

Senarai nama calon yang bertanding diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ishak Md Napis pada 12 tengah hari.

Bagi kerusi DUN Tanah Rata ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN Leong Tak Man, Datuk Kumar Silambaram, daripada PAS, dan Keadilan Chiong Yoke Kong.

DUN Jelai juga berhadapan pertandingan empat penjuru dari BN Datuk Seri Wan Mohd Rosdy Wan Ismail, calon PAS Abdul Karim Nor, calon PKR Dr Abdul Rasid Mohamed Ali dan calon PSM Mat Nor A/L Ayat.