KUALA KANGSAR: Pertembungan tiga penjuru di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar akan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kerusi tersebut kekal milik mereka.

Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, BN perlu memberi fokus untuk memastikan kemenangan  sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih.

Menurut beliau, ahli UMNO dan BN perlu melipat gandakan usaha dalam mendekati pengundi, sekaligus memacu kemenangan.

“Saya lihat ini (pertembungan tiga atau lebih penjuru) merupakan kelebihan buat BN. Itu sebab BN kena fikir pasal kemenangan, tidak perlu tunjuk siapa lagi bagus buat kerja.

“Pelancaran jentera akan dibuat selepas ini. Selain menjimatkan kos, ia juga tunjuk kekuatan dan solidariti di pihak BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Puteri Umno PRK Kuala Kangsar pada petang Sabtu.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati memaklumkan pihaknya akan memberi fokus kepada lebih 7,000 pengundi muda di Parlimen Kuala Kangsar.

Ujarnya, antara isu yang akan diberi tumpuan adalah dari aspek ekonomi, pekerjaan dan sosial golongan muda.

“Yang penting adalah penyelerasan. Saya lihat Puteri UMNO Perak melakukan tugas yang baik dalam aspek ini.

“Dalam PRK Teluk Intan yang lepas, saya lihat penyelerasan ini memang bagus. Boleh dilihat Wanita dan Puteri mempunyai keserasian yang baik,” ujarnya.

Ketika ditanya kemungkinan Puteri UMNO mencadangkan nama untuk calon, beliau menyerahkan semuanya kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Kita tidak mencadangkan sesiapa namun jika ada cadangan nama, kita serahkan kepada kepimpinan parti,” ujarnya.