PETALING JAYA : Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar tidak menghebohkan pertemuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Beliau merasakan pertemuan itu ingin mencapai perkara-perkara yang berkait dengan kebajikan “untuk tujuan dunia dan akhirat”.

Samsuri menjelaskan pertemuan itu “cerita lama, bukan berlaku sehari dua ini”.

“Tidak menjadi apa-apa halangan untuk mengadakan apa-apa pertemuan dengan mana-mana pihak pun,” katanya pada sidang media di Besut, Terengganu baru-baru ini, ketika ditanya mengenai pertemuan itu.

Beliau tidak melihat sebarang isu daripada pertemuan itu, menyifatkan ia sebagai “benda positif”.

“Tidak ada mana-mana orang yang rasa tidak setuju dengan benda yang baik,” katanya.

“Mana-mana yang positif mendatangkan manfaat kepada negeri, rakyat, negara kita secara umumnya dan umat Islam lagilah, maka tentunya kita harus mencari jalan bagaimana untuk mencari jalan terbaik untuk manfaat semua pihak.”

Ditanya pemberita adakah usaha itu termasuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan, Samsuri berkata semua pihak harus sedar kerajaan Terengganu “salah satu unit dalam persekutuan” seperti negeri-negeri lain.

“Tidak timbul kita berseteru ataupun seumpamanya, yang pentingnya ialah bagaimana mengukuhkan konsep federalisme – hubungan antara negeri dan persekutuan.”

Sebelum ini, FMT melaporkan kemungkinan berlakunya susunan baru politik yang boleh mendorong parti Islam itu ke mercu kuasa kerajaan persekutuan berikutan kemerosotan sokongan kepada gabungan pemerintah.

Susunan baru itu, yang dikatakan akan menghimpunkan pihak yang menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di negeri majoriti Melayu akan memberi kesan besar ke atas DAP dan Anwar Ibrahim.

Mahathir pada Isnin memandang ringan laporan itu, mengatakan memang tugasnya berjumpa semua orang, “walaupun mereka musuh saya”.

Beliau menolak tanggapan kerjasama dengan PAS tanda PH lemah, menjelaskan PAS berjumpa beliau berkait kebimbangan tentang beberapa perkara.