KUALA LUMPUR : Anggota Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, hari ini menegaskan perjumpaan beliau dan sekumpulan wakil rakyat pembangkang dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, baru-baru bukan sesuatu yang unik.

Beliau berkata, apa yang penting perjumpaan itu bertujuan untuk memikirkan masa hadapan negara dan rakyat terutama dalam usaha pengukuhan ekonomi dan perpaduan.

“Tiada sebab pihak pembangkang tidak boleh berjumpa dengan pemimpin kerajaan.

“Dalam keadaan sebegitu, elak daripada sensasikan sesuatu isu kerana ia hanya akan menimbulkan spekulasi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Sembrong di Kluang, Johor hari ini.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid merasmikan persidangan tersebut.

Hishammuddin yang juga Ketua Umno Sembrong berkata beliau sememangnya tidak melayan sebarang provokasi, spekulasi dan konspirasi sejak dari dahulu kerana ia sesuatu yang tidak berkesudahan.

“Saya percaya, pemimpin ni, apabila sampai masanya, kalau ada apa-apa hendak umum, kita umumkanlah.

“Jangan mengizinkan pihak tertentu mewujudkan provokasi dan jangan ada tuduhan konspirasi. Kerana bagi pihak saya, apa jua perjumpaan yang saya hadir adalah untuk kebaikan tanah air dan rakyat.

“Kalau itu pegangan kita, tiada siapa boleh menidakkan keinginan kita melihat ke depan secara konstruktif,” kata Hishammuddin.

Semalam, Dr Mahathir yang juga pengerusi PH mengesahkan beberapa pemimpin pembangkang dari Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertemu beliau pada Selasa lepas.

“Mereka datang hendak jumpa saya, saya jumpalah mereka, saya dengar apa yang hendak mereka katakan. Ya, ramai daripada mereka menyatakan sokongan kepada saya, terima kasih banyak-banyak,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata sokongan untuk beliau mengekalkan jawatan bukan perkara baharu kerana Presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah bercakap mengenainya sepanjang masa.