IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara wakil pembangkang dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung isu penarikan semula peruntukan lebih RM30 juta bagi membaik pulih lima buah pasar awam di negeri ini.
Kekecohan bermula ketika sesi soalan lisan sejurus Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) mempertikaikan komitmen kerajaan negeri dalam pembangunan lestari dengan mengaitkan isu baikpulih Pasar Pasir Pinji.
Dr Zambry (BN-Pangkor) ketika menjawab soalan itu memberitahu, isu pasar tersebut sepatutnya dapat diselesaikan lama dahulu sekiranya pihak pembangkang tidak membantah cadangan yang dibentangkan oleh kerajaan negeri.
“YB (Pasir Pinji) membicarakan tentang masalah yang dihadapi pasar Pasir Pinji tetapi kalau YB semua masih ingat ketika saya mula-mula menjadi Menteri Besar, kita telah mengemukakan cadangan membina semula serta baikpulih lima pasar termasuk yang disebutkan ini.
“Tetapi yang sana (pembangkang) tolak, tidak bersetuju sehingga akhirnya satu peruntukan lebih RM30 juta terpaksa ditarik balik. Jadi saya nak katakan, yang bantah dahulu siapa? Nak jadi hero rakyat (tetapi) akhirnya rakyat terbiar,” katanya.
Sebaik sahaja Dr. Zambry selesai memberi jawapan itu, Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) bangun membantah, kononnya fakta yang diberikan itu tidak berasas dan bersifat tohmahan semata-mata.
Pertikaman lidah antara wakil pembangkang dan kerajaan itu menimbulkan kekecohan dan perbalahan lebih 25 minit sehinggalah Speaker, S. Thangeswari mengarahkan semua ahli Dewan duduk dan bertenang.
Dr Zambry kemudiannya menyifatkan tindakan wakil rakyat dari pihak pembangkang seperti Kor Ming dan Koo Ham sebagai tiada adab dan tidak menghormati dewan.
“Saya sedang menjawab soalan, bukannya mengadakan perdebatan. Setelah sekian lama nampaknya masih tiada adab.
“Sudah diajar agar bersopan dalam persidangan, tetap juga begitu. Mungkin saya kena hantar ke sekolah politik lain, sekolah politik DAP barangkali,” katanya.