IPOH: Kerajaan negeri mempertimbang cadangan mewujudkan Pelan Tindakan Strategik (PTS) khas bagi menangani gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan belia di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, sudah tiba masanya pelan itu diwujudkan memandangkan masalah gejala sosial di negeri ini, khususnya di dalam kalangan belia semakin meningkat.

Menurutnya, setakat ini tiada PTS yang spesifik bagi menangani gejala sosial tetapi isu itu dimuatkan dalam beberapa PTS yang telah dibangunkan kerajaan negeri sehingga kini, contohnya PTS PEMADAM Perak 2015 – 2020.

“Tetapi nampaknya masalah genjala sosial ini semakin serius, sebagai contoh di Perak pelajar-pelajar terlibat dadah telah meningkat kepada 4.94 peratus berbanding tahun lalu dan peratusan itu semakin meningkat sejak 2012, justeru kita akan berbincang untuk mewujudkan pelan khusus berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Radzi Zainon (PAS – Sungai Rapat) yang bertanyakan jika terdapat sebarang PTS khas diwujudkan untuk mengekang gejala sosial di kalangan belia yang semakin serius di negeri ini ketika Sidang DUN pada Rabu.

Tambah Samsudin, perbincangan lanjut mengenai PTS itu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Gejala sosial dan keruntuhan akhlak adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh dan kita memandang isu itu dengan serius kerana ia melibatkan masa depan negeri serta negara secara amnya,” ujarnya.